Perintah supaya bertasbih disebut di beberapa tempat dalam al-Quran termasuk penentuan waktunya iaitu pagi dan petang.
Amat rugi sekiranya manusia tidak bertasbih kepada Allah sedang langit yang tujuh, bumi dan segala isi di dalamnya bertasbih kepadaNya, tiada ada sesuatu melainkan bertasbih dengan memuji Allah, hanya sanya manusia tidak dapat mengerti dan memahami tasbih mereka itu.
Bertasbih adalah salah satu daripada bentuk zikir dalam rangka mengingati Allah. Bahkan sering juga dipakai perkataan tasbih itu untuk menggantikan perkataan zikir yang banyak macamnya itu.
Salah satu cara mengingati Allah itu ialah melalui sembahyang sunat Tasbih. Dinamakan ia sebagai sembahyang sunat Tasbih kerana mengingat banyaknya lafaz-lafaz tasbih yang diucapkan dalam sembahyang itu. Oleh yang demikian, maka ruangan Irsyad Hukum kali ini akan mengupas dan menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan sembahyang sunat Tasbih itu, dan cara melakukannya dan fadhilat-fadhilatnya serta lain-lain hukum yang berkaitan dengannya.
Fadhilat Sembahyang Sunat Tasbih
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan kepada bapa saudaranya bahawa kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu sangatlah besar sebagaimana hadis Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya:
“Jika engkau membuat yang sedemikian itu, Allah menghapuskan dosamu, baik yang terdahulu, yang sekarang, yang sudah lama, yang baru, yang tidak disengaja, yang sengaja, yang kecil, yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang-terangan.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain, apabila orang telah mendengar kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu, dan ia tinggalkan yakni tidak membuatnya maka ia tergolong daripada orang yang mencuaikan agama.
Panduan Solat Sunat Tasbih
Sembahyang sunat Tasbih yang sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a :
1. Lafaz niat sembahyang sunat Tasbih jika dua rakaat satu salam ialah:
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah ta‘ala.”
Atau jika dilakukan empat rakaat:
Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih empat rakaat kerana Allah ta‘ala.”
2. Membaca doa Iftitah.
- (Peringatan: Mengikut kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua, bacaan tasbih yang pertama sebanyak 15 kali bermula selepas takbiratul ihram dan membaca doa iftitah iaitu sebelum membaca surah al-Fatihah.)
3. Membaca Ta‘awwudz
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca surah al-Hadid atau surah at-Takatsur pada rakaat pertama (boleh juga membaca surah-surah yang lain).
Begitu juga pada rakaat kedua afdhal membaca surah al-Hasyr atau surah al-‘Asr, pada rakaat ketiga surah as-Shaff atau surah al-Kafirun dan pada rakaat keempat surah Jumu‘ah atau surah al-Ikhlas.
6. Setelah selesai membaca al-Fatihah dan surah selepasnya dan sebelum rukuk membaca tasbih sebanyak 15 kali.
- (Peringatan: Mengikut kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua bacaan tasbih itu dibaca lagi selepas surah al-Fatihah dan surah selepasnya sebanyak 10 kali kemudian rukuk. Bacaan tasbih seterusnya dibaca semasa rukuk, i‘tidal, sujud pertama, duduk antara dua sujud dan sujud kedua adalah sama sebanyak 10 kali, tetapi bacaan tasbih semasa duduk istirahah sebelum bangun untuk rakaat kedua tidak dibaca. Begitu juga semasa tahiyat akhir pada rakaat kedua juga tidak dibaca.)
7. Rukuk dan membaca tasbih rukuk 3 kali.
8. Setelah selesai membaca tasbih rukuk terus sambung membaca tasbih 10 kali.
9. I‘tidal sambil membaca tasmi‘ kemudian tahmid.
10. Membaca tasbih selepas membaca tahmid i‘tidal 10 kali.
11. Sujud dan membaca tasbih sujud 3 kali.
12. Membaca tasbih selepas tasbih sujud 10 kali.
13. Duduk antara dua sujud dan membaca doa.
14. Membaca tasbih selepas membaca doa duduk di antara dua sujud 10 kali.
15. Sujud kedua dan membaca tasbih sujud 3 kali.
16. Membaca tasbih selepas tasbih sujud kedua 10 kali.
- (Peringatan: Di sinilah bacaan tasbih terakhir bagi kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua. Begitulah seterusnya pada rakaat kedua, ketiga dan keempat.)
17. Bangkit dari sujud yang kedua iaitu duduk istirahah (duduk sebelum berdiri untuk rakaat yang seterusnya) dan membaca tasbih 10 kali.
18. Ulangilah bacaan tasbih itu pada rakaat kedua, ketiga dan keempat pada tempat yang sama sepertimana bacaan pada rakaat pertama kecuali:
- Jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan pada waktu malam lebih utama dikerjakan setiap dua rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbih pada rakaat kedua itu sebelum atau selepas membaca tahiyat akhir.
- Begitu juga jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan di waktu siang adalah lebih afdhal dikerjakan empat rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbih terakhir pada rakaat kedua sebelum atau selepas tahiyat awal dan pada rakaat keempat hendaklah membaca tasbih terakhir sebelum atau selepas tahiyat akhir.
19. Begitulah kaifiyat membaca tasbih dalam sembahyang sunat Tasbih, kesemua jumlah tasbih yang dibaca dalam empat rakaat adalah sebanyak 300 tasbih iaitu 75 tasbih pada setiap rakaat.
20. Kemudian sunat membaca doa selepas tahiyat akhir dan sebelum salam.
Doa masyhur sepertimana yang diterangkan oleh Imam Kurdi dan Syarqawi di dalam kitab Fath al-‘Allam selepas tahiyat akhir dan sebelum salam ialah:
Ertinya: “Ya Allah! Kami bermohon dari-Mu taufiq seperti golongan yang mendapat pertunjuk, ibadat golongan yang yakin, ketulusan golongan yang bertaubat, keazaman golongan yang sabar, kewaspadaan golongan yang takut, pengharapan golongan yang tekun, peribadatan golongan yang wara’, kebijaksanaan golongan yang berilmu sehingga kami menjadi takut kepadamu.”
“Ya Allah! Kami bermohon kepada-Mu sifat takut yang akan menjadikan benteng dari berbuat maksiat kepada-Mu, (kami bermohon kepada-Mu) amalan yang dengannya kami mendapat keredhaan-Mu sehingga (menjadikan) kami dapat beramal dengan penuh ketaatan, (kami bermohon) rasa takut kepada-Mu sehingga (menjadikan) kami memohon nasihat kepada-Mu di dalam taubat, (kami bermohon) rasa cinta kepada-Mu sehingga (menjadikan) kami ikhlas kepada-Mu dalam meminta nasihat, (kami bermohon) bersangka baik kepada-Mu Tuhan yang Maha Suci pencipta nur (cahaya) sehingga (menjadikan) kami bertawakkal kepada-Mu di dalam setiap urusan.”
Di dalam riwayat yang lain ada juga yang menambah dengan doa ini:
Ertinya: Wahai Tuhan kami sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dengan rahmat-Mu wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari sekalian yang mengasihi.
Doa ini dilakukan setiap kali sebelum salam, jika melakukan sembahyang sunat Tasbih ini setiap dua rakaat sekali salam hendaklah membaca doa ini dua kali iaitu setiap kali sebelum memberi salam, dan jika dilakukan dengan empat rakaat sekali salam hendaklah membaca doa ini sekali sahaja. Sepertimana perkataan Syabramillisi: “Doa ini dibaca sekali jika melakukan sembahyang sunat Tasbih dengan sekali takbiratul ihram dan dibaca doa ini dua kali jika melakukannya dengan dua kali takbiratul ihram.”
21. Kemudian memberi salam ke kanan dan ke kiri.
22. Kemudian selepas mengucapkan salam bolehlah memohon dengan membaca doa-doa lain supaya diperkenankan segala hajat.
Begitulah kaifiyat sembahyang sunat Tasbih dan bacaan tasbih sepertimana yang diterangkan dalam hadis di atas dan ditambah dengan bacaan:
Sebagaimana yang disebut dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj.
Hukum Sembahyang Sunat Tasbih
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah, sembahyang sunat Tasbih adalah di antara sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan masa dan sebab tertentu, maka sunat dilakukan pada setiap masa, sama ada di waktu malam ataupun siang dan haram dilakukan di dalam waktu-waktu yang diharamkan bersembahyang.
Sembahyang sunat Tasbih ini dianjurkan melakukannya, sehinggakan jika mampu, afdhal dikerjakan pada tiap-tiap hari. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan sekali pada setiap Jumaat. Jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan sebulan sekali. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan setahun sekali dan jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan seumur hidup sekali. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Jika engkau mampu mengerjakannya sekali setiap hari maka kerjakanlah, jika engkau tidak mampu membuatnya maka kerjakanlah sekali setiap Jumaat, jika engkau tidak mampu, maka kerjakanlah sekali sebulan, jika engkau tidak mampu maka kerjakanlah sekali setahun, jika engkau tidak mampu juga maka kerjakanlah sekali seumur hidup.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Oleh yang demikian, sunat dilakukan sembahyang sunat Tasbih itu berulang kali walaupun dalam masa yang berdekatan.
Surah-Surah Yang Sunat Dibaca Dalam Sembahyang Sunat Tasbih
Sunat dibaca surah at-Takatsur pada rakaat pertama, surah al-‘Asr pada rakaat yang kedua, surah al-Kafirun pada rakaat yang ketiga dan surah al-Ikhlas pada rakaat yang keempat.
Menurut setengah ulama pula, surah yang lebih utama dibaca ialah surah yang pada permulaan ayatnya disebut perkataan tasbih iaitu surah al-Hadid pada rakaat pertama, surah al-Hasyr pada rakaat kedua, surah as-Shaff pada rakaat ketiga dan surah al-Jumu‘ah pada rakaat keempat. Jika tidak mampu, maka bolehlah membaca surah az-Zalzalah pada rakaat pertama, surah al-‘Adiyaat pada rakaat kedua, surah at-Takatsur pada rakaat ketiga dan surah al-Ikhlas pada rakaat keempat.
Boleh juga membaca surah-surah lain jika tidak hafal semua surah yang di atas, akan tetapi surah-surah di atas itu adalah yang lebih afdhal atau lebih utama dan mendapat pahala mengikut keutamaan surah-surah tersebut.
Bilangan Rakaat Sembahyang Sunat Tasbih Dan Waktunya
Sembahyang sunat Tasbih dikerjakan pada bila-bila masa sebanyak empat rakaat. Jika dikerjakan pada waktu siang adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan satu salam. Jika dikerjakan pada waktu malam adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan dua salam.
Cara-Cara Solat Sunat Taubat
Allah SWT sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud; "Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar".(At-Tahrim: 8)
Allah SWT telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: "Katakanlah; Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Az-Zumar:53)
Syarat-Syarat Taubat
1. Ikhlas ingin bertaubat
2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
5. Dikerjakan sebelum ajal tiba
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.
Waktu Melaksanakan Taubat
Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya
Firman ALLAH swt: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)
Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.
Cara Melaksanakan Solat Taubat
Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;
* Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
* Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
* Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
* Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
* Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
* Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti;
Ertinya:" Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah".
* dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,
Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”
* Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat ALLAH swt













